Bekas Mufti, bekas senator, Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak dan pembantu khas timbalan menteri adalah antara sembilan muka baharu, daripada 11 calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, 44, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menyifatkan pengumuman sebagai calon itu merupakan satu cabaran baharu yang perlu dipelajari.

“Saya sudah terlibat dalam pentadbiran agama Islam dan bidang kekeluargaan lebih 20 tahun. Pelantikan (sebagai calon) ini merupakan ilmu baharu bagi saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman itu.

“Peranan kita di Sarawak yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa, ini adalah perkara yang mencabar dalam menentukan hala tuju negeri ini. Saya berharap saya dapat memainkan peranan dalam hal ini,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Idris Buang, 62, yang dicalonkan untuk bertanding di DUN Muara Tuang berkata beliau akan bekerjasama dengan semua pihak bagi merencanakan yang terbaik berpandukan kepimpinan parti dan negeri.

“Saya akan kaji kehendak pengundi di Muara Tuang khususnya golongan belia dan wanita. Kita akan bawa lebih banyak pembangunan dan buat yang terbaik,” kata peguam dan juga bekas senator itu.

Turut akan bertanding adalah Jefferson Jamit Unyat, 58, cucu kepada mendiang Tun Jugah, seorang pemimpin Dayak yang berkhidmat sebagai menteri persekutuan dalam hal ehwal Sarawak semasa zaman Tunku Abdul Rahman.

“Saya amat yakin untuk menang kerana saya sudah berkhidmat di kawasan itu sangat lama. Saya mempunyai ramai saudara-mara di sana. Saya juga mendapat sokongan daripada semua parti komponen BN,” katanya yang akan bertanding di Bukit Goram.

Bagi calon langsung BN DUN Serembu, Miro Simuh, 43, pembantu khas kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri James Dawos Mamit berkata beliau mahu menaik taraf kehidupan dan pendapatan penduduk tempatan melalui lebih banyak program ekonomi.

Calon langsung BN DUN Bukit Semuja, John Ilus, 52, pula berjanji akan meneruskan pembangunan yang sudah dirancang di kawasan itu jika menang dalam pilihan raya.

“Memandangkan Bukit Semuja terletak di Serian yang sudah dinaik taraf menjadi sebuah Bahagian sejak tahun lepas, pelbagai projek pembanguan yang dirancang akan diteruskan,” kata pegawai kanan tadbir Pejabat Daerah Serian itu.

Gerawat Jala, 59, calon langsung DUN Mulu, berterima kasih kepada Adenan atas kepercayaannya untuk bertanding.

“Saya akan bekerja keras untuk menyerahkan kerusi itu kepada BN,” kata peguam yang merupakan Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *