Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Beberapa Pihak Berminat Beli Saham KUB

Beberapa Pihak Berminat Beli Saham KUB

KUALA LUMPUR, Anchorscape Sdn Bhd yang juga pemegang saham majoriti KUB Malaysia Bhd, telah menerima pertanyaan beberapa pihak yang berminat untuk memiliki sebahagian kepentingan syarikat itu dalam kumpulan berkenaan.

“Perbincangan dengan pihak terbabit masih di peringkat awal dan tiada sebarang persetujuan atau kata muktamad dicapai membabitkan perkara itu setakat ini,” kata KUB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas perkembangan yang menyaksikan lonjakan harga saham-saham KUB yang ditutup 56 peratus lebih tinggi kepada 37.5 sen semalam dan seterusnya menokok kepada 39.5 sen hari ini dengan 34.91 juta saham saling bertukar tangan.

KUB berkata ia akan turut memaklumkan pihak Bursa mengenai semua perkembangan berkaitan perbincangan itu.

Anchorscape memiliki sebanyak 52.18 peratus kepentingan dalam kumpulan itu.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, KUB memaklumkan bahawa ia tidak mengetahui punca atau sebarang perkembangan korporat, spekulasi/laporan atau mempunyai penjelasan berhubung lonjakan harga saham-saham syarikat itu pada semalam dan hari ini.

Lembaga Pengarahnya juga telah menerima surat makluman daripada pihak Anchorscape mengenai perbincangan berkaitan.

KUB adalah kumpulan yang terbabit dalam pelbagai segmen perniagaan seperti perladangan sawit, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga, hartanah dan industri tenaga.

Leave a Reply

Top