Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bayaran Kepada LTAT Belum Muktamad

Bayaran Kepada LTAT Belum Muktamad

KUALA LUMPUR, Kerajaan belum memuktamadkan jumlah pampasan perlu dibayar kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai kos pengambilalihan dua syarikat bagi projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata perbincangan masih dilakukan dengan pihak berkaitan berhubung isu berbangkit susulan pembatalan perjanjian dan pampasan yang dikemukakan.

“Perbincangan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan LTAT sudah tiga kali diadakan.

“Kerajaan masih meneliti jumlah pampasan yang dituntut pihak syarikat.

“Pada 26 Oktober lalu, semua pihak bersetuju supaya tuntutan akhir LTAT dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti secara terperinci dengan melihat segala elemen kos dikemukakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai jumlah pampasan yang dibayar kepada syarikat pengendali AES selepas diambil alih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kamarudin berkata, Kementerian Kewangan akan membuat penelitian terperinci dan memberi cadangan kepada kerajaan mengenai kaedah penyelesaian berhubung tuntutan LTAT.

“Proses ini dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. Perkembangan akhir perkara ini akan diumumkan selepas diluluskan Jemaah Menteri,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan hanya akan membayar RM555 juta kepada LTAT bagi kos pengambilalihan dua syarikat bagi AES.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan dibuat dengan LTAT mengenai perkara itu, namun menegaskan pihaknya tidak terikat dengan perjanjian antara LTAT dan kerajaan terdahulu.

Leave a Reply

Top