Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Bapa Tidak Pernah Bermusuh’

‘Bapa Tidak Pernah Bermusuh’

KOTA BHARU, “Bapa tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan sebelum ini tidak menerima sebarang ugutan sehinggalah malam tadi dia ditetak serta dikelar,” kata anak sulung Datuk Kamaruddin Abdullah, 66, yang parah di kepala dan pinggang selepas diserang dua lelaki bermotosikal di depan kedai kopi Jalan Tengku Chik, jam 7.30 malam tadi.

Anak sulung mangsa yang enggan dikenali itu berkata, bapanya banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur dan hanya beberapa hari saja dalam sebulan pulang ke Kelantan.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan kejadian menimpa bapa dan tidak tahu apa motif suspek menetak serta mengelar pinggang bapa.

“Bapa kini sudah sedar dan perlu masuk ke bilik pembedahan pagi ini untuk menjahit luka, selain memeriksa sekiranya terdapat jangkitan kuman.

“Bapa juga memaklumkan suspek yang menyerangnya berusia 30-an dan memakai topi keledar, tetapi bapa tidak kenal dua individu berkenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, Kamaruddin yang juga Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan dikatakan baru keluar dari kedai kopi menuju ke keretanya.

Bagaimanapun, ketika berjalan sendirian, dua suspek bermotosikal datang menyerang mangsa sebelum melarikan diri.

Rakan Kamaruddin yang enggan dikenali berkata, dia yang turut berada dalam kedai kopi itu menyifatkan kejadian berlaku terlalu pantas.

“Sebelum kejadian, kami minum bersama dan sebaik Kamaruddin keluar untuk ke masjid, tidak sampai lima minit saya dengar jeritan dan melihat dia terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya terus berlari membantunya dan seorang daripada suspek sempat menunjukkan tukul kepada saya seolah-olah tidak membenarkan saya membantu mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri menuju ke arah motosikal mereka yang diparkir hanya beberapa meter. Melihat keadaan yang berlaku, saya fikir suspek sudah menunggu Kamaruddin sebelum mencari waktu sesuai menyerangnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata menyebabkan kecederaan parah.

Leave a Reply

Top