Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Banyak Undi Hilang, JPP Tidak Cekap

Banyak Undi Hilang, JPP Tidak Cekap

KUALA LUMPUR, Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang didakwanya tidak menjalankan tugas dengan baik.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, banyak masalah timbul sepanjang pemilihan parti berlangsung antaranya membabitkan kehilangan undi dan dakwaan politik wang.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden menggesa supaya JPP lebih cekap dalam menyiasat sebarang masalah yang timbul selain bertindak sebagai badan yang bebas daripada pengaruh ‘tangan ghaib’.

“Ya (JPP tidak jalankan kerja dengan baik). Terdapat aduan yang masih masuk. Lihat sahaja pemilihan di Selangor yang mana banyak undi hilang.

“Di Ampang, sebanyak 1,100 undi hilang dan di cabang saya (Gombak) 800 undi hilang.

“Cuba bayangkan, jika undi ini tidak hilang dan dikira… pasti jurang margin undi saya lebih besar daripada yang diperoleh sekarang. Apa pun, biar mereka (JPP) putuskan dan siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada sesi penutup Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan PKR yang terpalit dengan unsur rasuah dan didakwa ‘ditaja’ pihak dan kerabat tertentu, Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan perkara itu perlu disiasat secara telus dan terbuka.

Oleh itu, katanya, JPP mesti bertindak sebagai satu badan bebas untuk mengendalikan pemilihan secara telus, adil dan saksama.

“JPP tidak boleh dipengaruhi oleh tekanan politik dari mana-mana pemimpin dan ia mesti menyiasat aduan-aduan ini secara telus.

“Sekiranya ada pihak yang mempunyai bukti yang kukuh haruslah kemukakan bukti ini bagi membolehkan badan JPP menyiasat aduan,” katanya.

Leave a Reply

Top