MH Online

Laman Suara Rakyat

Banyak Kali Jumpa Najib Suarakan Kebimbangan- Husni

Banyak Kali Jumpa Najib Suarakan Kebimbangan- Husni

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bertemu secara peribadi lebih 20 kali dengan Datuk Seri Najib Razak untuk menyuarakan kebimbangan mengenai pentadbiran negara, termasuk pinjaman SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Bekas Menteri Kewangan II itu yang juga saksi ke-56 pendakwaan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata perjumpaannya dengan Najib selaku Perdana Menteri ketika itu bertujuan memberikan nasihat berhubung perkara terbabit.

Ahmad Husni berkata, jika ada perkara salah dan ia berkaitan Perdana Menteri (Najib ketika itu), beliau akan terus berjumpa serta berbincang.

“Sekiranya ada kesilapan, ia harus diperbetulkan,” katanya ketika disoal peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat Kabinet yang dihadirinya jarang membincangkan perkara berhubung meluluskan cadangan bagi mengeluarkan jaminan kerajaan terhadap pinjaman wang oleh SRC.

“Ketika saya memegang jawatan Menteri Kewangan II, perbincangan dalam Kabinet jarang diadakan. Kebanyakannya hanya bersetuju dengan perkara dibentangkan.

“Hanya bentang dan setuju. Itu realiti dalam Kabinet kecuali perkara berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) berikutan terdapat percanggahan,” katanya.