Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Banyak Fitnah Kepada Agong

Banyak Fitnah Kepada Agong

KOTA BHARU, Pihak berkuasa, kerajaan dan peguam negara sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga ke hari ini, tiada tindakan dikenakan terhadap pihak yang mengundang persepsi negatif terhadap Sultan Muhammad V.

Beliau yakin, berita ini timbul kerana mahu memburukkan imej kerajaan negeri kerana hubungan baik pemimpin dengan institusi diraja di sini.

Berita bukan sahaja menjejaskan kerajaan negeri malah beliau berkata, ia menjatuhkan reputasi institusi diraja, selaku Ketua Negara.

“Saya pelik sebab sekarang ini banyak sangat tohmahan terhadap Sultan Muhammad V, sepatutnya penguat kuasa ambil tindakan tegas malah pihak Pejabat Peguam Negara sepatutnya lebih peka.

“Sampai sekarang, saya tertanya-tanya apa yang dibuat oleh pihak Peguam Negara sehingga banyak berita fitnah tersebar dalam media sosial,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 oleh Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, pagi tadi.

Mohd Amar berkata, semua pihak perlu mempertahankan kedaulatan Baginda dan ia adalah salah satu tugas Peguam Negara.

Pagi tadi, timbul fitnah mengenai desakan raja-raja Melayu dalam sebuah blog, agar Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan atau dipecat kerana tidak menjalankan tugas selaku Ketua Negara dan melangsungkan perkahwinan secara rahsia.

Leave a Reply

Top