Share on Facebook

PONTIAN, Bantuan dalam bentuk barang persekolahan bernilai RM200 mungkin tidak besar nilainya bagi sesetengah pihak namun bagi 200 ibu bapa yang anak mereka terpilih dalam Program ‘Back To School´ Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, sumbangan itu amat bermakna.

Suriya Samad, 42 yang baru kematian suaminya, berkata bantuan itu amat meringankan bebannya yang hanya meraih pendapatan RM25 sehari sebagai pembantu kedai makan untuk menampung kehidupan empat daripada lima anaknya.

“Dalam lima hari, saya hanya bawa balik RM125. Anak ada lima, seorang sudah berkahwin manakala empat lagi tinggal bersama saya namun hanya tiga yang masih bersekolah.

“Justeru, saya amat bersyukur dengan bantuan ini, ” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sekolah TNB itu di sini lewat petang tadi.

Bagi seorang guru, Nurul Huda Abdullah, 36, pendapatannya tidak mencukupi untuk menanggung lima anak yang masih bersekolah rendah sekalipun dibantu suami yang bekerja sebagai buruh.

“Zaman sekarang, barang-barang sekolah mahal. Seorang kadang-kadang sudah cecah RM200 untuk beg, baju, kasut, alat tulis dan bermacam-macam lagi.

“Kalau ada lima orang anak, bagaimana? ” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB (Johor) Datuk Baderul Sham Saad berkata program ‘Back To School´ itu merupakan kesinambungan program yang dilakukan sebelum ini.

Katanya pada 3 Dis lalu, seramai 200 murid di kawasan Parlimen Pasir Gudang telah menerima manfaat daripada program sama manakala 600 murid lagi dalam masa terdekat iaitu Parlimen Ledang (23 Dis), Batu Pahat (27 Dis ) dan Tenggara.

“Sejak dilaksanakan pada 2013, program ini telah memberi manfaat kepada 10,000 penerima di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Melaluinya, murid-murid akan mendapat satu set baju seragam, kasut, beg sekolah, stoking dan alat tulis,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *