Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bantuan Kewangan Disalur Berperingkat

Bantuan Kewangan Disalur Berperingkat

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19 secara berperingkat bagi membantu mereka menghadapi situasi mencabar ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan juga akan terus mendengar idea dan pandangan daripada semua orang mengenai bantuan yang diperlukan rakyat.

“Dalam pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM295 bilion diumumkan sebelum ini, suntikan fiskal berjumlah RM45 bilion di mana Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sahaja mencecah RM11.5 bilion membabitkan 10.8 juta penerima terdiri daripada golongan B40 dan M40.

“Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), banyak inisiatif yang diumumkan untuk membantu golongan terjejas seperti orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan sebagainya.

“Pelan PENJANA ini adalah pelan yang dinamik, jadi jika kita ada terima idea baharu, kita perlu mendengar dan selaku kerajaan yang prihatin, kita akan terus menolong mereka yang susah dan memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ditanya mengenai pandangan Bank dunia yang mencadangkan perlunya kerajaan mempertingkatkan bantuan kewangan di dalam pakej PRIHATIN dan PENJANA, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan melakukannya secara berperingkat dengan sektor swasta memang akan diberi tumpuan.

Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Surviving the Storm’ yang diterbitkan Khamis lalu mengatakan kuantum bantuan kewangan di dalam pakej PRIHATIN dan PENJANA mungkin perlu dipertingkatkan.

Laporan itu menyebut, hal ini disebabkan walaupun bantuan termasuk pakej PRIHATIN mampu membantu mengurangkan gangguan jangka pendek terhadap isi rumah dan perniagaan yang terjejas, pakej berkenaan dilihat menganggap bahawa krisis akan berlalu dalam beberapa bulan.

Leave a Reply

Top