MH Online

Laman Suara Rakyat

Bantuan Inisiatif Prihatin RM100 Buat Penuntut UITM

Bantuan Inisiatif Prihatin RM100 Buat Penuntut UITM

KUALA LUMPUR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberikan RM100 melalui inisiatif UiTM Prihatin kepada penuntut yang terpaksa berpatah balik ke kampung selepas mendaftar di institusi itu, susulan penangguhan pendaftaran kemasukan secara fizikal.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata bantuan sama sama turut diberikan kepada penuntut yang sudah mendaftar dan terus tinggal di kolej kediaman serta di luar kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangan ketika ini.

Katanya, pengurusan tertinggi universiti juga bersetuju memberi pengecualian bayaran kolej bagi bulan ini kepada semua penuntut yang memilih untuk terus tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangan.

Beliau berkata, terdapat 3,252 penuntut yang direkodkan datang mendaftar secara fizikal pada Khamis hingga Sabtu lalu dengan 940 memilih untuk terus kekal di kolej kediaman UiTM.

“Bantuan ini membabitkan penuntut yang sudah mendaftar dan terus tinggal di kolej kediaman. Penuntut yang kekal di kolej kediaman juga akan terus dipantau dan dibantu mengikut keperluan masing-masing, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini susulan peningkatan kes COVID-19.

Mohd Azraai berkata, inisiatif dan insentif yang dilaksanakan itu selari dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad supaya IPT memahami kesulitan dan kekangan yang dihadapi penuntut.

Katanya, keutamaan UiTM kini adalah memastikan penuntutnya kekal selamat, sihat dan tabah dengan cabaran dihadapi ekoran pandemik COVID-19.

“UiTM juga memberi jaminan kebajikan dan keselamatan penuntut akan sentiasa dipantau dan diberikan keutamaan.

“Lebih penting, dengan inisiatif dan insentif ini, penuntut diharap kekal tenang, tabah dan meneruskan pengajian mereka dalam suasana kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya