MH Online

Laman Suara Rakyat

Bantuan GKP 2.0 Dibayar Mulai 30 November

Bantuan GKP 2.0 Dibayar Mulai 30 November

KUALA LUMPUR, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 512,000 permohonan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro bagi mendapatkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata PKS mikro terbabit boleh menyemak status kelulusan bermula 27 November ini manakala tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 November ini.

“Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kelangsungan perniagaan mereka, setiap permohonan akan disemak silang atau verifikasi dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu 200,000 PKS mikro,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tion (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan untuk GKP 2.0 dan apakah sebab utama permohonan yang tidak berjaya ditolak.

Zafrul bagaimanapun berkata, terdapat juga permohonan yang tidak akan diluluskan antaranya kerana tidak memenuhi syarat iaitu tiada lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Selain itu, antara sebab adalah kerana tidak memenuhi kriteria PKS mikro iaitu dengan bilangan pekerja melebihi 5 orang.

“Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya, termasuk PKS mikro. Oleh itu, GKP 2.0 ini adalah komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.

Katanya, ketika pelaksanaan GKP pertama, seramai 545,000 peniaga mikro seluruh negara sudah menerima manfaat dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.63 bilion.