MH Online

Laman Suara Rakyat

Bank Rakyat Bantu Pelanggan Terkesan COVID-19

Bank Rakyat Bantu Pelanggan Terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR, Pelanggan Kad Kredit-i Bank Rakyat kini boleh membuat pengeluaran tunai segera sehingga 100 peratus had pembiayaan mereka sepanjang tempoh Kempen Pengeluaran Tunai Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober 2021.

Kempen itu terbuka kepada semua pemegang kad utama dan tambahan kecuali Kad Kredit-i Korporat Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kempen tersebut merupakan salah satu alternatif bagi mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek pelanggan akibat kesan pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini diharap dapat memanfaatkan lebih dari 270,000 pelanggan Kad Kredit-i dalam menguruskan keperluan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Abdul Aziz berkata, kempen itu menawarkan kadar keuntungan istimewa sebanyak enam peratus setahun atau 0.5 peratus setiap bulan bagi transaksi pengeluaran tunai yang dilakukan dalam tempoh kempen berbanding dengan kadar keuntungan sedia ada iaitu 18 peratus setahun.

“Menerusi kempen ini, pelanggan boleh membuat pengeluaran tunai di mana-mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kaunter Bank Rakyat termasuk ATM dan kaunter bank lain,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh membuat pengeluaran tunai menerusi panggilan telefon dengan menghubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880.

“Pengeluaran tunai melalui panggilan telefon mempunyai had pengeluaran minimum sebanyak RM500 dan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM20 untuk setiap pengeluaran.

“Dana tunai yang dikeluarkan akan dikreditkan ke Akaun Semasa-i/Akaun Simpanan-i (CASA) Bank Rakyat pelanggan dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Beliau berkata, tiada had yang ditetapkan bagi bilangan transaksi pengeluaran tunai yang boleh dilakukan oleh pemegang kad.

Kini, Kad Kredit-i Bank Rakyat giat menawarkan pelbagai diskaun dan rebat pada waktu pandemik menerusi usaha sama dengan pelbagai jenama seperti Poplook, UMMA, So.lek Cosmetics, Mis Claire, The Batik Boutique, Emmer Zecna dan Polo Haus.