MH Online

Laman Suara Rakyat

Banjir Di Kuala Selangor Terus Meningkat

Banjir Di Kuala Selangor Terus Meningkat

KUALA LUMPUR, Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat dengan seramai 661 mangsa daripada 185 keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan.

Jurucakap Smart Selangor Command Center (SSCC) berkata sebuah lagi PPS dibuka bagi menampung pertambahan jumlah mangsa banjir berbanding tiga semalam.

“PPS terbaharu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok yang dibuka pada 4 petang semalam yang menempatkan seramai 32 orang daripada 10 keluarga.

“PPS di SK Parit Mahang terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir di mana sehingga pagi ini seramai 492 mangsa daripada 138 keluarga ditempatkan di sana, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields masih kekal 89 orang mangsa daripada 22 keluarga.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Jaya Setia turut meningkat dengan seramai 48 orang daripada 15 keluarga berbanding 46 mangsa pada petang semalam,” dipetik sebagai berkata.

Jurucakap berkenaan berkata pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan dan akan menyampaikan maklumat terkini daripada semasa ke semasa.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata situasi air pasang besar yang dijadualkan berlaku di pesisir pantai Selangor mulai awal pagi tadi adalah dalam keadaan terkawal.

“Sehingga kini keadaan dilaporkan terkawal, pihak kami juga tiada menerima sebarang laporan terdapat ban pecah akibat air oasang besar pagi tadi,” katanya.