‘Tak kisahlah apa orang nak cakap. Saya yakin gaun itu akan jadi perhatian dan perbualan ramai.’

Begitulah reaksi ratu cantik Malaysia, Samantha Katie James yang mewakili negara pada pertandingan Miss Universe 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), akhir bulan ini, apabila gaun berinspirasi nasi lemak yang bakal digayakan, menjadi bualan hangat.

“Apa yang saya fikir sekarang adalah penyertaan dalam pertandingan itu. Lebih banyak cabaran besar akan saya lalui.

“Saya lihat rekaan gaun itu sangat kreatif. Malah, saya bangga menggayakannya,” dipetik sebagai berkata.

Selepas dipertontonkan kepada orang ramai, Selasa lalu, gaun nasi lemak rekaan Brian Khoo yang bakal digayakan Samantha pada segmen kostum kebangsaan pada Miss Universe 2017, pantas menarik perhatian netizen.

Mengambil inspirasi daripada juadah kegemaran rakyat Malaysia, gaun nasi lemak mencetuskan perdebatan. Ada yang menyukai idea ditampilkan, tidak kurang juga berpendapat ada cara lebih kreatif untuk menghasilkan rekaan itu.

Samantha yang juga pelakon menganggap, baik mahupun buruk, gaun nasi lemak itu sudah mendapat publisiti dan diperkatakan rakyat Malaysia.

“Itu adalah hakikatnya. Tetapi kita perlu bijak untuk tidak mempedulikan komen tidak membina.

“Secara jujur, polemik dicetuskan tidak mengganggu saya. Ia bukan saja memberi publisiti kepada gaun berkenaan, malah diri saya sendiri.

“Paling penting saya selesa menggayakan gaun itu dan perlu yakin apabila tampil di pentas Miss Universe 2017 nanti,” katanya.

Ditemui di majlis pratonton supertelefilem Wanita Terindah arahan Joon Goh, Samantha memberitahu, perhatian dan isu yang tercetus daripada gaun nasi lemak itu tidak memberi kesan negatif kepada dirinya.

Mengenai dunia lakonan, Samantha teruja diberi kesempatan berlakon dalam Wanita Terindah yang turut dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura dan Liza Othman.

Sebelum ini, Samantha membintangi filem Kastil Tua dan filem berbahasa Mandarin untuk pasaran China.

“Selepas selesai Miss Universe, saya harap dapat terus aktif membina nama sebagai pelakon. Saya juga ada impian mencuba nasib di Hollywood,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *