Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Baka Lembu KK Tingkat Pengeluaran Daging Negara

Baka Lembu KK Tingkat Pengeluaran Daging Negara

KEMAMAN, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan baka lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit, yang berpotensi memberi pendapatan yang lumayan kepada penternak berskala kecil dan sederhana.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata baka KK itu yang lebih cepat membesar, tahan cuaca persekitaran yang panas dan lembab serta serangan penyakit, dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran daging negara.

“Kajian yang telah dimulakan dari 2006 ini telah berjaya melahirkan baka Kedah-Kelantan (KK) Elit yang ditingkatkan beratnya sehingga mencapai berat maksimum antara 430 kilogram (kg) hingga 460 kg bagi jantan dan 220 kg hingga 250 kg bagi betina pada umur lingkungan tiga hingga empat tahun,” katanya pada majlis pelancaran lembu Kedah-Kelantan dan lembah pedaging di Kemaman baru-baru ini.

Beliau berkata baka lembu KK lebih popular dan digemari oleh pengusaha tempatan kerana tahan terhadap cuaca persekitaran, kadar kematian yang rendah iaitu kurang daripada dua peratus dan kos pengeluaran yang rendah kerana baka KK produktif dengan kualiti makanan yang sederhana.

Sementara itu, mengenai lembah pedaging Kemaman, beliau berkata Daerah Kemaman yang mempunyai populasi lembu KK terbanyak di Malaysia iaitu sebanyak 18,000 ekor merupakan kawasan paling sesuai bagi dibangunkan sebagai pengeluar daging utama di Malaysia.

“Dengan penubuhan ini, Kemaman akan menjadi satu kawasan yang sangat penting untuk negara kerana bakal menjadi pengeluar daging terbesar dan berupaya bagi meningkatkan tahap sara diri serta memenuhi permintaan yang kian meningkat,” katanya.

Leave a Reply

Top