MH Online

Laman Suara Rakyat

Baik Pulih Landasan Kereta Api Gemas-Tumpat Siap Tahun Hadapan

Baik Pulih Landasan Kereta Api Gemas-Tumpat Siap Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR, Kerja membaik pulih infrastruktur landasan dan stokereta di sektor pantai timur Semenanjung bagi jajaran Gemas-Tumpat yang mengalami kerosakan akibat banjir besar pada penghujung tahun 2014 dijangka siap pertengahan tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, banjir tersebut telah mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur landasan, peralatan persemboyanan dan juga jentera penyelenggara landasan yang telah ditenggelami air.

“Dalam hal ini kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM874.7 juta bagi membaik pulih infrastruktur landasan dan stokereta di sektor pantai timur Semenanjung.

“Peruntukan ini terdiri daripada dana berjumlah RM778 juta bagi projek membaik pulih infrastruktur landasan bagi sektor Gemas ke Tumpat dan RM96.7 juta bagi program pemulihan stesen dan lain-lain infrastruktur kereta api yang terjejas akibat musibah banjir besar yang melanda pantai timur Semenanjung,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) berhubung bilakah perkhidmatan kereta api terus daripada Tumpat, Kelantan melalui Pasir Mas, Tanah Merah seterusnya ke Kuala Lumpur dan sebaliknya beroperasi semula selepas dihentikan sejak tahun 2014.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan sedia untuk menimbang pembukaan semula perkhidmatan kereta api ekspres dari Kuala Lumpur ke Tumpat setelah projek baik pulih selesai.

Selain itu katanya, ia juga bergantung kepada keperluan dan permintaan tinggi serta ketersediaan set-set tren yang boleh beroperasi di sektor tersebut.