Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Azmin Punya Ketokohan Sebagai Timbalan Presiden

Azmin Punya Ketokohan Sebagai Timbalan Presiden

IPOH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diakui sebagai calon pilihan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu di Perak, Sabtu ini.

Ketua Penerangan PKR Perak yang juga calon Ketua Cabang Tapah, Siti Aishah Shaik Ismail, berkata ahli PKR di negeri itu yang lebih sinonim dengan kemesraan dan kepedulian Mohamed Azmin, pasti akan menjadikan perkara itu asas untuk mereka menilai dan membuat pilihan pada pemilihan itu.

“Jasa dan sikap keterbukaan yang dipamerkan oleh Datuk Seri (Mohamed) Azmin pastinya tidak akan dilupakan oleh anggota yang akan membuat pilihan.

“Rata-rata menyatakan bahawa ia bukan saja kerana kemesraan yang dipamerkan oleh tokoh pemimpin ini, sebaliknya kecemerlangan beliau dalam pentadbiran dan pengurusan tata kelola yang baik menjadikan Mohamed Azmin sebagai calon pilihan bagi negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya bertajuk ‘Jasa Azmin bakal terbalas di Perak’ di sini malam ini.

Siti Aishah berkata, pemilihan kali ini paling sengit kerana ia adalah pemilihan parti sesudah terbentuknya kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pemilihan di Perak juga menjadi tumpuan apabila ia yang sepatutnya diadakan awal bulan ini, terpaksa ditangguhkan ke Sabtu ini dengan bilangan undi diperoleh setiap calon bertanding di negeri lain yang sudah mengadakan pemilihan adalah semakin sengit.

“Apapun, dalam meraikan demokrasi yang ada, pastinya anggota yang ditemui di Perak baru-baru ini sentiasa dipesan biarlah pemilihan kali ini menjadi satu persaingan yang sihat dan bukan penuh dengan politik dendam dan politik ugut.

“InsyaAllah atas dokongan dan kepercayaan selama ini jasa, pengorbanan dan sikap kepedulian beliau (Mohamed Azmin) akan mendapat balasan yang baik daripada akar umbi,” katanya.

Siti Aishah mengakhiri kenyataannya dengan mengucapkan selamat membuat pilihan kepada keluarga besar PKR.

Pagi tadi, Ketua Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, mendakwa kedudukan negeri itu yang dianggap kubu kuat Mohamed Azmin sebelum ini, bakal berubah apabila ahli parti itu semakin menunjukkan sokongan terhadap agenda perubahan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu yakin Rafizi akan dapat merapatkan jurang undi diperoleh berbanding Mohamed Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila ahli parti itu di Perak mengundi Sabtu ini.

Katanya, setakat semalam, beliau sudah berjumpa hampir 40 calon ketua, timbalan dan naib ketua cabang di Perak yang menyatakan sokongan terhadap Rafizi.

Setakat Ahad lalu, Mohamed Azmin memperoleh 35,415 iaitu kelebihan 1,119 undi berbanding 34,296 undi yang diperoleh Rafizi.

Leave a Reply

Top