Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Azmin Pernah Minta Anwar Jangan Tanding Presiden PKR

Azmin Pernah Minta Anwar Jangan Tanding Presiden PKR

KOTA BHARU, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali didakwa pernah berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim di Turki dan meminta Ketua Umum parti itu tidak bertanding bagi membolehkannya menjadi Presiden.

Perkara itu didedahkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sambil menyifatkan perjumpaan itu berlaku ketika Anwar baharu sahaja selesai menjalani pembedahan di Turki baru-baru ini.

“Beliau (Azmin) pergi Turki untuk jumpa Anwar ketika Anwar baharu sahaja menjalani pembedahan dan meminta Anwar tidak payah bertanding, biar saya (Azmin) jadi presiden. Namun Anwar menegaskan tetap mahu bertanding.

“Saya dedahkan perkara ini untuk memberi latar belakang yang betul kerana ada sahabat pimpinan saingan kami berlaku kasar kepada sahabat saya apabila ada di kalangan kami terus mempersoalkan tindakan Azmin.

“Disebabkan itulah, sehingga jam terakhir kita tidak mengetahui sama ada Azmin akan cabar Anwar Ibrahim atau tidak dan Azmin juga tidak menyatakan sokongan apabila Anwar memaklumkan mahu bertanding sebagai Presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ceramah #Reformasi 20 tahun di Tunjong, di sini, lewat malam tadi.

Rafizi berkata, perkara itu bukan dimaklumkan oleh Anwar sebaliknya diketahui umum dalam parti.

Katanya, sambil menyifatkan proses perjalanan Anwar selepas menyatakan kesudian untuk bertanding bukannya berjalan lancar sebagaimana yang dilihat masyarakat diluar kerana ada cerita yang berlaku di sebaliknya.

Ketika ditanya berhubung kekosongan kerusi Parlimen bakal berlaku minggu hadapan yang didedahkannya, Rafizi berkata, setakat ini tiga Ahli Parlimen yang menyatakan secara terbuka untuk memberi laluan kepada Anwar.

Katanya, mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, Selayang dan Sungai Petani dan terpulang kepada Anwar untuk membuat keputusan.

“Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci kerana akan ada pengumuman rasmi bakal dibuat dalam masa terdekat.

“Namun apa yang saya boleh katakan perkara ini bukan dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya perancangan rapi sudah disusun dengan baik sejak awal lagi,” katanya.

Leave a Reply

Top