MH Online

Laman Suara Rakyat

Azmin Keliru Konsep Ekonomi & Matematik

Azmin Keliru Konsep Ekonomi & Matematik

KUALA LUMPUR, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan ‘alasan’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menunjukkan menteri berkenaan keliru konsep ekonomi dan matametik.

Najib melalui perkongsian di Facebook peribadinya berkata, Mohamed Azmin membuat kenyataan agak pelik mendakwa BR1M ialah satu rasuah dan bantuan itu dianggap bukti bahawa kerajaan BN gagal untuk membantu golongan berpendapatan sederhana (B40) menjadi pertengahan (M40) .

“Saya percaya Menteri Hal Ehwal Ekonomi ini keliru dengan kefahaman konsep ekonomi dan matematik beliau. Pada setiap masa, golongan B40 memang akan wujud. Ini konsep matematik asas!

“B40 bermakna kumpulan rakyat berpendapatan 40 peratus paling rendah… ini tidak bermakna jika kesemua golongan B40 dipertingkat menjadi M40 maka tiada lagi kewujudan golongan B40,” tegasnya.

Najib turut memberikan contoh B40 adalah dari pendapatan RM4,000 sebulan namun jika pendapatan rakyat meningkat satu kali ganda pada masa depan, B40 akan diklasifikasi daripada mereka yang terima pendapatan RM8,000 sebulan.

Menurutnya, pada setiap masa juga, akan ada keluarga yang keluar dari kumpulan B40 kerana kenaikan pendapatan mereka dan ada keluarga yang baru masuk ke dalamnya.

“Mungkin menteri ekonomi kita kurang faham. BR1M bukan sekadar skim bagi membasmi kemiskinan. Untuk tujuan itu, ada banyak lagi skim lain dijalankan seperti di bawah jabatan kebajikan dan skim 1Azam.

“Tujuan utama BR1M ialah satu kaedah pengagihan semula pendapatan daripada golongan 60 peratus kumpulan terkaya kepada golongan 40 peratus pendapatan terendah dan sebagai pengerak ekonomi terutama di luar bandar atau di bandar kecil,” katanya.

“Wang dari GST yang kita perolehi dari golongan yang kaya, yang mengelak cukai dan dari ekonomi gelap yang kebanyakannya di bandar besar, kita dapat agih dan pulangkan kepada golongan B40 yang biasanya di luar bandar ataupun bandar kecil untuk meningkatkan pendapatan dan merancakkan ekonomi tempatan mereka.

“Konsep ‘direct cash transfer’ dan pulangan duit GST kepada golongan B40 ini bukan perkara baru dalam segi ekonomi,” jelasnya lagi.

Menurut Najib, negara jiran seperti Singapura juga ada skim seperti BR1M yang mereka memberi nama “GST Voucher” yang dibayar setiap tahun.

“Untuk tahun 2018, Singapura membayar SGD1 billion (RM3 bilion) kepada 1.6 juta warganegara yang berpendapatan SGD28,000 setahun dan ke bawah iaitu purata SGD625 (RM1,875) seorang.

“Saya hendak tanya Azmin, adakah kerajaan Singapura telah gagal ataupun mereka membeli atau memanjakan rakyat mereka juga kerana mereka ada skim seperti BR1M?

Pada 26 Ogos lalu, Mohamed Azmin memberikan kenyataan selepas Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) seluruh Perak iaitu rakyat seharusnya didayakan dengan program tertentu yang boleh meningkatkan ekonomi mereka.

Menurutnya, sebarang bentuk sogokan tunai untuk mendapatkan sokongan politik perlu dihentikan termasuklah BR1M.

Sehari sebelum kenyataan berkenaan dibuat, dalam wawancara The Malaysia Insight, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum dimansuhkan.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Terdahulu pada 17 Mei, Dr Mahathir memaklumkan pemberian BR1M akan diteruskan namun beberapa perkara dalam pemberian itu akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu orang ramai menganggap BR1M sebagai rasuah atau umpan supaya rakyat menyokong kerajaan. Sebaliknya, BR1M adalah satu bentuk inisiatif untuk menangani masalah sosial.