Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Azmin Kecam Tindakan Hasan Karim

Azmin Kecam Tindakan Hasan Karim

KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini menempelak kenyataan Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan Perdana Menteri berundur.

Azmin berkata sebagai seorang anggota Parlimen PKR, Hassan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur desakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

Tegas beliau, barisan kepimpinan PKR sudah menyatakan pendirian teguh dan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk meneruskan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Soal Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri itu sudah ditentukan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Alhamdulillah, setahun kepimpinan Dr Mahathir, kita sudah meletakkan asas yang betul. Saya percaya sekarang ini adalah untuk pelaksanaan dasar-dasar yang ditetapkan,” katanya.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata demikian selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 di Dataran Merdeka bagi kategori 5 kilometer di sini, hari ini.

Rabu lalu, Hassan membuat desakan itu dengan mendakwa Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutama untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan Raja.

Terdahulu, Mohamed Azmin melepaskan lebih 7,000 peserta larian sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 yang julung kali diadakan di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 23 Ogos.

Leave a Reply

Top