Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Azmin Bertindak Sendiri

Azmin Bertindak Sendiri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad berkata, sebelum Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lagi, sudah ada ura-ura Pakatan Harapan (PH) mahu beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, dakwanya, ketika mereka dalam ‘mood’ gembira selepas kemenangan PH, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara tiba-tiba mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar tanpa restu parti.

Beliau mendakwa dirinya adalah satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti menerusi surat daripada empat parti komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat berkenaan turut ditunjukkan kepada media ketika sidang media di rumahnya di sini, hari ini, namun Dr Idris tidak membenarkan ia disiarkan.

“Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menghantar surat memaklumkan pemilihan saya untuk pertimbangan Sultan Selangor.

“Ini berdasarkan rekod cemerlang saya sepanjang menjadi ADUN dua penggal di Ijok. Saya dilahirkan di Selangor dan berkhidmat sebagai doktor lebih 30 tahun,” katanya.

Semalam, Azmin dilaporkan berkata, beliau sudah mengadap Sultan Selangor untuk memaklumkan calon penggantinya yang dipersetujui pimpinan PKR dan PH.

Dr Idris juga mendakwa, beliau bertanya kepada pihak yang rapat dengan presiden parti dan dimaklumkan tiada mana-mana pemimpin parti memberi surat sokongan kepada Azmin.

“Saya tak nak jadi ‘gentleman’ lagi, beliau (Azmin) pergi ke sana (Istana Alam Shah) sendiri,” katanya.

Azmin perlu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar selepas dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Desas-desus bakal pengganti Azmin sebelum ini terlerai dengan ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Leave a Reply

Top