MH Online

Laman Suara Rakyat

Azalina Kemuka 3 Syor Atasi Kemelut Politik

Azalina Kemuka 3 Syor Atasi Kemelut Politik

KUALA LUMPUR, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengemukakan tiga langkah dan cadangan segera kepada kerajaan ketika sesi Parlimen untuk mengurangkan ketidakstabilan dan pergolakan politik.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, tiga cadangan tersebut ialah mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, membentangkan usul mengawal selia parti politik dalam gabungan kerajaan serta mewajibkan mereka menyertai dan mendaftarkan perjanjian dasar dan agenda kerajaan secara bertulis.

“Langkah ketiga adalah memeterai dan membentangkan RUU yang hampir sama sebagaimana ‘Fixed-term Parliaments Act 2011 (FTPA)’ di United Kingdom,” katanya dalam satu hantaran di blognya hari ini.

Menurutnya, di bawah FTPA, undi tidak percaya mesti dinyatakan secara spesifik untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

“Ini bermakna kekalahan blok kerajaan dalam belanjawan tidak semestinya menjatuhkan kerajaan. Walaupun mungkin selepas itu ia akan hadapi usul undi tidak percaya kerana keupayaan untuk menguasai Dewan Rakyat akan dipersoal,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya keadaan mendesak, mungkin satu-satunya cara untuk kembalikan mandat rakyat adalah dengan membubarkan Parlimen untuk menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dalam hal ini, saya menyuarakan seruan Presiden UMNO agar semua parti politik mengetepikan perbezaan mereka demi rakyat dan terus bersatu dalam amanat yang dikembalikan kepada rakyat kerana mandat rakyat adalah amanah suci.

Menurutnya, sebanyak 13 negara diketahui telah mengadakan pilihan raya umum semasa Covid-19, salah satunya adalah Singapura.

“Sebelum Republik Singapura menyeru pilihan raya pada 10 Julai tahun ini, jumlah jangkitan antara tiga digit hingga empat digit setiap hari.

“Namun, sejak akhir Ogos, jumlah jangkitan diturunkan antara satu digit menjadi dua digit sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Azalina juga mempersoalkan langkah yang akan diambil oleh kerajaan Persekutuan jika Belanjawan 2021 tidak dipersetujui.

“Bagaimana kerajaan Persekutuan akan menampung perbelanjaannya sekiranya Belanjawan 2021 tidak dipersetujui?

“Sekiranya dikalahkan, adakah Parlimen akan dibubarkan untuk membuka jalan untuk pilihan raya?

“Berapa lama Rang Undang-Undang Perbekalan baru dapat disiapkan untuk kepentingan rakyat Malaysia?” katanya.