Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin melahirkan hasrat untuk kembali aktif dalam politik.

Beliau berkata beliau bertekad meneruskan perjuangannya selagi mendapat sokongan rakyat di peringkat akar umbi terutama di bahagian Bachok.

“Saya akan kembali menemui rakyat di peringkat akar umbi dan memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di kediamannya di Kampung Perupuk di sini Sabtu.

Beliau menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 31 Mac 2014 dan menamatkan tugas tersebut pada 7 April lepas.

Awang Adek sebelum itu berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan selama tujuh tahun sejak 2006 di bawah dua perdana menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sepanjang berkhidmat sebagai duta besar, beliau masih merupakan Ketua UMNO bahagian Bachok namun jawatan itu dipangku oleh timbalannya Datuk Dr Ilias Hussain.

Mengenai jawatan Gabenor Bank Negara yang nama beliau turut disebut-sebut untuk dilantik menyandangnya, Awang Adek berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan negara.

Terdahulu beliau yang tiba di rumahnya pada pukul 11.30 pagi disambut dengan laungan ‘Hidup UMNO, Hidup Awang Adek’ oleh ribuan penyokongnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *