MH Online

Laman Suara Rakyat

Australia Kerah Tentera Di Sydney Kekang COVID19

Australia Kerah Tentera Di Sydney Kekang COVID19

Anggota tentera ditugaskan sepanjang jalan di Sydney mulai hari ini bagi menguatkuasakan lanjutan perintah sekatan susulan arahan duduk di rumah di Brisbane, bandar ketiga terbesar di Australia dilanjutkan bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin buruk.

Kira-kira 300 anggota Angkatan Pertahanan Australia (ADF) dikerahkan di Sydney selepas polis New South Wales (NSW) meminta bantuan ketenteraan untuk menguatkuasakan peraturan COVID-19.

Pihak berkuasa berusaha menghentikan penyebaran varian Delta yang cepat menular di Sydney dan memastikan penduduk mematuhi peraturan berikutan lebih 3,600 kes direkodkan sejak pertengahan Jun.

“Pegawai polis akan dibantu oleh anggota ADF ketika mereka menghantar bungkusan makanan, melakukan kebajikan di rumah dan pemeriksaan pematuhan perintah duduk di rumah serta pengasingan diri,” kata Pesuruhjaya Polis NSW, Mick Fuller.

Terdahulu, seramai 250 anggota keselamatan sudah dikerahkan di hotel dan lapangan terbang di NSW. Lebih lima juta penduduk di bandar terbesar dan sekitar Australia memasuki minggu keenam perintah sekatan yang akan dilanjutkan sehingga akhir Ogos.

Penduduk hanya dibenarkan meninggalkan kediaman untuk bersenam, pekerjaan penting, alasan perubatan dan membeli keperluan seperti makanan.

Bagaimanapun ramai tidak patuh dan memaksa polis mengenakan denda kepada mereka yang melanggar sekatan itu.

Sementara itu, jutaan penduduk Brisbane dan wilayah sekitarnya kekal di bawah perintah sekatan sehingga Ahad ini selepas 29 kes baharu dicatatkan.

Perintah duduk di rumah pula dijadualkan tamat esok.

“Ia akan menjadikan tempoh lapan hari perintah sekatan. Kami berharap ia cukup untuk kontak rapat melakukan kuarantin kendiri dan sesiapa sahaja yang mungkin terdedah kepada varian Delta,” kata pemangku ketua menteri Queensland, Steven Miles.

Australia merekodkan lebih 34,000 kes dan 925 kematian setakat ini.

Dengan kira-kira 14 peratus daripada 25 juta penduduk Australia menerima vaksin lengkap, pihak berkuasa bergantung kepada sekatan pergerakan bagi mengekang penularan jangkitan virus. – AFP