Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Australia Arah Pelancong Keluar Dari Kawasan Kebakaran

Australia Arah Pelancong Keluar Dari Kawasan Kebakaran

Ribuan pelancong diberikan masa kurang daripada 48 jam untuk keluar dari kawasan kebakaran di sekitar perairan Australia, ketika negara itu bakal berdepan gelombang panas Sabtu ini, yang dijangka memburukkan lagi keadaan.

Satu kebakaran buruk berlaku di tenggara benua itu pada malam Tahun Baharu, meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa dan menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales (NSW) pagi ini mengisytiharkan lokasi pelancongan popular Bateman’s Bay sebagai lokasi berbahaya untuk pelancong, mencakupi kawasan sepanjang 200 kilometer.

Semua pengunjung diberi amaran untuk berpindah sebelum Sabtu, sebelum destinasi terbabit dilanda gelombang panas dengan suhu sehingga 40 darjah celsius dan angin kencang.

Fenomena cuaca seumpama itu boleh mencetuskan banyak kebakaran dan ia diramalkan akan menjadi lebih buruk berbanding tragedi Selasa lalu.

Ramai pelancong dan penduduk setempat terpaksa menghabiskan masa dalam keadaan bergelap serta terputus hubungan selama dua hari, selain bekalan makanan yang terhad sebelum diselamatkan pihak berkuasa pagi ini.

Menteri Pengangkutan NSW, Andrew Constance memberitahu stesen penyiaran awam ABC, ia adalah perpindahan terbesar setakat ini, dengan ribuan penduduk dan pelancong mula membuat persediaan.

Timbalan pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW, Rob Rogers berkata, anggotanya gagal memadamkan atau mengawal kebakaran berkenaan.

“Terlalu banyak kebakaran berlaku di kawasan itu dan kami tidak berupaya untuk mengawal api daripada terus merebak,

“Apa yang boleh dilakukan hanya memastikan semua pelancong dan penduduk setempat terhindar dari bahaya,” katanya kepada ABC. – AFP

Leave a Reply

Top