Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ATM Guna Drone Pantau Keadaan

ATM Guna Drone Pantau Keadaan

KUALA LUMPUR, Penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) akan digunakan bagi mengawal dan memantau pergerakan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dijadual berakhir 31 Mac ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penggunaan teknologi seumpama itu penting bagi membolehkan tugas pengawasan dibuat lebih luas dan menyeluruh.

“Kita akan menggunakan teknologi untuk membuat pengawasan seperti dron dan UAV. Perkara ini sudah dibincangkan dan bantuan industri tempatan kita sudah ada, tapi jumlahnya (teknologi ini) perlu ditambah.

“Dengan menggunakan teknologi, ia boleh menambah baik pengawasan kita macam dilakukan di China,” katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM, pagi tadi.

Beliau berkata, penggunaan teknologi itu dijangka dapat dilaksana dalam tempoh terdekat, mungkin sehari dua ini.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM sedia menggerakkan lebih ramai anggotanya untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan sekatan jalan, selain kawalan pergerakan di kawasan lebih kecil.

“Jika diperlukan, kita bersedia untuk menambah anggota kita,” katanya turut memaklumkan sedia berkongsi kemudahan perubatannya untuk membuat saringan kepada mana-mana individu disyaki dijangkiti COVID-19.

Mengulas mengenai penugasan ATM, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan PDRM dalam menentukan tugasan anggotanya dan ia juga mengambil kira lokasi dan keperluan penugasan.

“Tugas kita sudah bincang dengan PDRM. Fokus di kawasan tertentu untuk permulaan ini. Sama ada nampak anggota kita (bertugas) atau tak ini sudah dibahagikan.

“Jika diperlukan lagi meluas, kita sedia menambah anggota kita. Perkara ini akan dikaji dan dilihat setiap hari. ATM komited dan kita sentiasa melakukan tugas kita dengan penuh dedikasi untuk capai objektif yang diamanahkan oleh kerajaan,” katanya.

Leave a Reply

Top