Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Arul Mengaku Tidak Bersalah

Arul Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Arul Kanda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Tertuduh didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu perdana menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.

Ia adalah bagi perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan pasport diserahkan.

Mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula.

Leave a Reply

Top