MH Online

Laman Suara Rakyat

Arkitek Menara KLCC Meninggal Dunia

Arkitek Menara KLCC Meninggal Dunia

Arkitek terkemuka Argentina, César Pelli yang bertanggungjawab menghasilkan ciptaan ikonik, Menara Berkembar Petronas di Malaysia menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 92 tahun, lapor media rasmi negara itu semalam.

Pelli yang membesar di Argentina dan menuntut dalam jurusan seni bina di Universiti Tucumán di barat laut negara itu, tampil sebagai seorang pendidik berwawasan dan mengukir nama di Amerika Syarikat iaitu pangkalan studio utama miliknya.

Agensi berita Argentina dan gabenor wilayah Tucuman iaitu tempat Pelli membesar turut melaporkan berita pemergian beliau semalam.

“Dengan penuh dukacita kami umumkan kematian arkitek agung César Pelli. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan pasukan kerja beliau.

“Mendiang adalah seorang pencipta dan legasi beliau akan terus subur dalam setiap hasil karyanya,” kata gabenor kawasan berkenaan, Juan Manzur menerusi Twitter.

Menurut biografi mendiang di laman web New Haven, Pelli dilantik sebagai Dekan Sekolah Seni Bina Universiti Yale pada 1977 dan menubuhkan Cesar Pelli dan Rakan-Rakan.

Studio terbabit berkembang dan menubuhkan cawangan di serata dunia, antaranya Abu Dhabi, New York, San Francisco, Tokyo dan Shanghai.

Selain Menara Berkembar Petronas yang pada ketika itu diiktiraf sebagai bangunan tertinggi dunia, hasil ciptaan Pelli termasuk Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan projek mengubah suai Muzium Seni Moden New York. – Reuters