MH Online

Laman Suara Rakyat

Arjunaidi Pangku Jawatan Ketua Polis Selangor

Arjunaidi Pangku Jawatan Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, akan memangku jawatan Ketua Polis Selangor bermula esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin akan bersara wajib bermula esok selepas memegang jawatan itu hampir dua tahun.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, Ketua Polis Selangor yang baharu belum diputuskan dan akan diumumkan secara rasmi oleh Bukit Aman apabila sudah ada penyandangnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor kepada Arjunaidi di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, ketua-ketua polis daerah di Selangor, pegawai kanan polis dan anggota.

Sementara itu, Noor Azam berkata beliau akan menghabiskan masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang digemarinya.

“Hari ini, genap satu tahun 10 bulan 10 hari saya diamanahkan oleh pucuk pimpinan pasukan untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Selangor.

“Ini jawatan yang terakhir saya, sebelum bersara dari Pasukan Polis Diraja Malaysia setelah berkhidmat selama 33 tahun lapan bulan sembilan hari.

“Saya mahu ambil rehat yang panjang dan memberikan fokus kepada keluarga terutamanya cucu serta aktiviti yang saya ingin lakukan selama ini iaitu bermain alat muzik seperti gitar, piano serta uke le le,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Arjunaidi serta seluruh pegawai dan anggota polis Kontinjen Selangor yang banyak membantu beliau sepanjang menerajui Selangor.

“Selangor adalah kontinjen paling aktif, tidak kira isu jenayah, isu air malah kebanyakan isu di Selangor adalah isu bersifat nasional.

“Terima kasih terhadap semua pegawai yang memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada saya ketika menjawat jawatan Ketua Polis Selangor termasuk Datuk Arjunaidi, pengalaman yang dimiliki selama enam tahun di Petaling Jaya banyak membantu saya dalam tugasan.

“Alhamdulillah, kita juga banyak menjalankan hubungan baik dengan masyarakat di mana semua polis di setiap daerah akan mendekati dan mendapatkan maklumat dalam usaha membanteras jenayah di Selangor,” katanya.