Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Arak Seludup Bernilai RM1.4 Juta Dirampas

Arak Seludup Bernilai RM1.4 Juta Dirampas

JOHOR BAHRU, Arak dan rokok seludup bernilai RM1.4 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu serbuan di rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor simpanan di Permas Jaya, pagi tadi.

Dalam serbuan itu, 500 kotak arak kapasiti 4,903 liter bernilai RM1.12 juta, 120,000 batang rokok putih bernilai RM169,000 dan wang tunai bernilai RM20,800 dirampas.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim, berkata sindiket dipercayai telah beroperasi hampir empat bulan dengan menjual barang seludup kepada peruncit dan kedai makan sekitar zon selatan.

Katanya selain arak dan rokok seludup, 36 keping salinan kad pengenalan turut dirampas yang dipercayai digunakan bagi tujuan membeli arak dengan kuota tertentu di zon bebas cukai.

“Kita lakukan serbuan jam 8.30 pagi tadi, dan ketika serbuan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 berada di lokasi sebagai penjaga stor simpanan dan juga logistik.

“Hasil maklumat orang awam polis menjalankan risikan selama dua minggu sebelum serbuan dilakukan.

“Tiga buah kereta yang digunakan membawa arak juga diubah suai dengan menanggalkan kerusi tempat duduk bahagian belakang dan mengeluarkan tayar simpanan bagi memuatkan lebih banyak barang seludup,” katanya pada sidang media selepas serbuan di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Muhammad berkata polis percaya masih ada saki baki sindiket ini yang aktif membuat kerja penyeludupan.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply

Top