MH Online

Laman Suara Rakyat

Arab Saudi Hulur Bantuan

Arab Saudi Hulur Bantuan

KUALA LUMPUR, Kerajaan Arab Saudi bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.

Bantuan daripada Arab Saudi itu antara lain, termasuk sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memaklumkan Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu adalah hasil perbincangannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman, menerusi telefon, hari ini.

“Ini satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad Salman dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini.

“Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan, sekali gus memastikan titah baginda Raja Salman ini berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Sementara itu, Saudi Gazette melaporkan, Ketua Penyelia KSrelief, Abdullah Al-Rabeeah, sebagai berkata titah Raja Salman itu menggambarkan betapa kukuhnya hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Menurut Abdullah, bantuan perubatan yang akan disalurkan kepada Malaysia turut merangkumi sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19.

“Kami akan bekerjasama dengan pejabat Menteri Luar Malaysia untuk mendapatkan kontrak dengan satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan untuk membekalkan jumlah diperlukan secara terus ke Malaysia,” katanya.

Malaysia ketika ini sedang berdepan lonjakan kes COVID-19 dan mencatatkan 17,045 kes jangkitan harian tertinggi hari ini, sekali gus menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini melebihi satu juta sejak mula dikesan awal tahun lalu.

Bagaimanapun, proses vaksinasi di Malaysia kini antara yang terpantas di dunia dengan lebih 16.9 juta dos diagihkan setakat semalam, merangkumi 11.5 juta dos pertama dan 5.4 juta dos kedua.