RIYADH, Arab Saudi dan Britain dilaporkan menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan, dua hari selepas saingan mereka, Qatar menandatangani perjanjian untuk membeli jet pejuang dari negara Eropah itu.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, perjanjian itu dibuat sehari selepas Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed Salman membincangkan jalinan keselamatan dengan Setiausaha Pertahanan British, Michael Fallon dalam lawatan beliau ke Jeddah.

“Pada mesyuarat itu, mereka turut melihat semula hubungan dua hala kedua-dua negara, khususnya dari aspek mekanisme dan kerjasama dalam konteks pertahanan. Mereka turut membincangkan usaha yang boleh diambil untuk memerangi kegiatan pengganas,” kata SPA.

Perjanjian berkenaan ialah susulan daripada usaha Britain meneroka perjanjian dagangan di luar benua Eropah selepas mengambil keputusan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dan ia mencakupi kerjasama dengan golongan monarki kaya dari negara-negara Teluk.

Sehari sebelum itu, Qatar menandatangani perjanjian untuk membeli 24 jet pejuang jenis Typhoon dari Britain, iaitu perjanjian kedua terbesar ditandatangani Doha sepanjang terbabit dalam krisis diplomatik dengan negara jiran.

Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Jun lalu selepas menuduh negara berkenaan menyokong fahaman pelampau dan menjalinkan hubungan baik dengan Iran.

Qatar bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa, konflik diplomatik terbabit satu serangan terhadap kedaulatan negaranya.

Sebelum ini, Britain dan beberapa kuasa Barat lain dilaporkan mendesak negara Liga Arab itu menamatkan boikot mereka ke atas Qatar, namun penganalisis berkata, krisis berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berakhir. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *