Share on Facebook

KOTA KINABALU, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil langkah untuk memelihara integriti pegawai dan anggotanya termasuk mendekati kakitangan bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan jenayah rasuah.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zukifli Abu Bakar berkata APMM tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah dan sentiasa berusaha menjadikan APMM sebuah agensi yang bersih dan berintegriti.

“Kita ada pegawai menyelia mereka yang berpotensi untuk melakukan jenayah rasuah seperti mereka yang didapati mempunyai banyak hutang dan menjalani kehidupan mewah juga akan dipantau.

“Selain itu, kita juga akan giat mengadakan ceramah agama dan ceramah berbentuk pencegahan bagi mengingatkan kakitangan supaya menjaga integriti mereka dan agensi,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan APMM susulan penahanan lima pegawainya yang merupakan antara 22 ditahan November lepas bagi membantu siasatan sindiket  pencerobohan nelayan asing Vietnam di perairan negara.

Zulkifli berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkaitan rasuah membabitkan agensi itu.

Mengenai masa depan pengoperasian APMM di Sabah, beliau berkata negeri ini dijangka menerima dua Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPC) tahun ini yang masing-masing bernilai RM60 juta.

Menurutnya, NGPC yang dinamakan KM Kota Belud akan ditempatkan di Sandakan dan yang kedua, KM Kota Kinabalu akan ditempatkan di Kota Kinabalu.

Di samping itu, beliau berkata sebanyak tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) akan diperoleh menjelang 2020, yang mana satu daripadanya akan ditempatkan di Sabah, dan usaha juga sedang dijalankan untuk menggantikan 30 bot kilat yang telah beroperasi lebih 13 tahun di negeri ini.

Zulkifli turut memuji peranan APMM menerusi operasi bersama agensi keselamatan lain dalam mengawal pesisir pantai di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), terutamanya dalam mematahkan cubaan untuk menceroboh perairan negeri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *