Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > APMM Patahkan Cubaan Seludup Arak & Rokok

APMM Patahkan Cubaan Seludup Arak & Rokok

JOHOR BAHRU, Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan usaha sekumpulan individu cuba  menyeludup  masuk rokok dan arak pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.5 juta dalam satu operasi berhampiran Tanjung Piai, Pontian, Sabtu lalu.

Pengarah Wilayah Maritim Selatan Datuk Abu Bakar Idris berkata rampasan itu adalah yang terbesar APMM Johor setakat ini untuk tahun ini.

Bot membawa barang terbabit dikesan bersauh kira-kira  1.9 batu nautika dari Tanjung Piai oleh sepasukan anggota APMM yang melakukan rondaan di perairan berkenaan dan pemeriksaan ke atas bot menemukan  916,500 bungkus rokok putih dan 3,048 botol arak pelbagai jenama yang ditutup menggunakan kanvas.

“Kita kemudian  bertindak menahan sembilan kru termasuk tekong bot yang berusia antara 25 dan 53 tahun. Kesemua mereka memiliki pasport Indonesia  namun semasa pemeriksaan tekong bot gagal mengemukakan dokumen kastam yang diperlukan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata penyeludup juga menggunakan helah mengibarkan bendera Singapura pada bot mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita akan terus mempertingkat rondaan di perairan Johor bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan perlakuan jenayah dari berleluasa,” katanya.

Kes disiasat menurut  Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang belum lulus kastam yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Mengulas perkembangan lain, Abu Bakar APMM akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-13 pada 15 Feb ini bertemakan ‘Warga Cemerlang Maritim Gemilang’.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan mengadakan Hari Terbuka Kapal Maritim di jeti APMM, Sungai Pulai  pada 25 Feb (Ahad) dan menjemput orang ramai untuk hadir pada program ini yang akan bermula pada 9 pagi,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti lawatan ke kapal APMM, pameran kerjaya dan  program derma darah.

Leave a Reply

Top