MH Online

Laman Suara Rakyat

Anwar Tidak Akan Bertanding Di Pandan

Anwar Tidak Akan Bertanding Di Pandan

BANDAR BAHARU, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerusi mana yang akan ditandingi Anwar hanya akan diumumkan esok selepas beliau pulang dari Hong Kong.

“Saya akan umumkan esok di Ibu Pejabat PKR dan Ahli Parlimen berkenaan juga akan muncul dalam sidang media itu.

“Hebahan berkaitan pengumuman itu akan dibuat esok, cuma untuk PRK ini saya maklumkan tidak akan berlaku di Pandan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PAS yang mengarahkan jentera kawasan Parlimen Pandan supaya bersiap sedia menghadapi PRK di kawasan itu.

Arahan itu dikeluarkan dalam kenyataan ringkas bertajuk ‘Persediaan Untuk Menghadapi PRK P.100 Pandan’ oleh Naib Presiden PAS merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Datuk Iskandar A Samad.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna secara sinis turut mengucap tahniah kepada PAS atas persiapan awal dibuat mereka.

“Persiapan awal itu untuk bekerja bagi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebab PRK tidak akan berlaku di sini.

“Bagaimanapun saya menghormati usaha PAS untuk menawan Pandan mulai sekarang,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu turut melawat lokasi nahas akibat mendapan tanah di Jalan Taman Serdang, Bandar Bharu dan menziarahi dua keluarga mangsa sebelum menyampaikan sumbangan hari ini.

Anwar dijangka kembali ke Parlimen seawal bulan depan bergandingan dengan isterinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga juga Ahli Parlimen Pandan dan anaknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah.