Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Anwar Lancar Tuisyen Dalam Talian Percuma

Anwar Lancar Tuisyen Dalam Talian Percuma

PORT DICKSON, Menepati janjinya untuk menyediakan program khas pendidikan buat murid dan pelajar di daerah ini, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melancarkan tuisyen dalam talian secara percuma, pdtuition.com.

Ketua Umum PKR itu berkata, program untuk meningkatkan taraf hidup penduduk itu dibangunkan bersama guru, rakan, persatuan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai antara pengisian memajukan Port Dickson.

“Saya harap program ini dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan keberkesanannya dalam kalangan penduduk Port Dickson.

“Jika saya diberi mandat oleh pengundi Port Dickson, saya akan minta kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mendapatkan maklumat keberkesanan program ini dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 300 warga pendidik pada Majlis Pelancaran e-Tuisyen Percuma (pdtuition.com) Untuk Murid-murid Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Hadir sama, anaknya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad dan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Pada 28 September lalu, Anwar ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan PKR bagi PRK Parlimen Port Dickson, berjanji perkara pertama akan diumumkan pada kempen PRK kelak ialah berkaitan program khas pendidikan sekolah menengah.

Beliau berjanji untuk mendedahkannya dalam tempoh seminggu.

Melalui portal dalam talian itu, murid bermula Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Lima boleh mengakses laman berkenaan secara percuma untuk mempelajari jenis kursus yang ditawarkan.

Leave a Reply

Top