Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Anwar Kesal Sikap Pemandu Teksi

Anwar Kesal Sikap Pemandu Teksi

KUALA LUMPUR, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan pemandu teksi yang membuat kecoh dalam sesi dialog bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pemandu teksi terlibat seharusnya memberi ruang agar masalah diselesaikan secara baik.

“Perdana Menteri jelas melahirkan rasa simpati tentang keadaan dan kedudukan pemandu teksi. Maka sewajarnya mereka memberi ruang masalah tersebut diselesaikan dengan baik.

“Adalah dikesalkan manakala timbul tindakan memboikot sidang dialog bersama Perdana Menteri yang jelas melahirkan simpati kapada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi kecoh seketika apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Kira-kira 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Leave a Reply

Top