MH Online

Laman Suara Rakyat

Anwar Kesal Pemimpin Melayu Tak Tegas Angkat Perlembagaan Persekutuan

Anwar Kesal Pemimpin Melayu Tak Tegas Angkat Perlembagaan Persekutuan

BANGI, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal terdapat segelintir pemimpin Melayu yang tidak tegas mengangkat Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyentuh Perkara 152 iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam perkara yang menyentuh hak istimewa orang Melayu seperti bahasa, agama Islam dan kedudukan raja-raja, pemimpin Melayu mesti bertegas memastikan ia dilaksanakan dengan baik.

“Masalahnya ketegasan pimpinan. Bukan soal bahasa kebangsaan tetapi keengganan melaksanakan dasar bahasa dengan jelas.

“Sehinggakan saya lihat acara rasmi pun dimulakan dan sepenuhnya bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia di sini semalam.

Tanpa menolak keperluan untuk menguasai bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan Tamil, Anwar berkata, seharusnya pemimpin memperlihatkan sikap serius mengangkat bahasa Melayu terutama melibatkan acara-acara rasmi.

Sementara itu, Anwar turut mengutarakan keperluan menaikkan ekonomi setiap bangsa tanpa mewujudkan sentimen perkauman.

Beliau berkata, setiap bangsa perlu bersatu mengangkat martabat ekonomi dan dalam masa yang sama menyelesaikan masalah kemiskinan yang parah dalam kalangan Melayu Bumiputera dan sebahagian kecil kaum Cina dan India di estet.

Diminta mengulas kenyataan penganalisis dasar awam, Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebagai ‘bencana tidak terkawal’, Anwar ketika ditemui media kemudian berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Itu ahli akademik yang pada ketika rasuah berpuluh bilion, membisu dan sekarang nak kata keadaan tidak terkawal? Patut bicara apa yang patut kita lakukan.

“Mengapa boleh kita diam bila rompakan besar berlaku dan sekarang nak kita bercakap seperti jurucakap? Saya tidak setuju,” kata Anwar.

Terdahulu, di forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’, Teck Ghee dilaporkan berkata, kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan semakin berkembang.

“Buat masa ini, adalah jelas pasca PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) sebagai bencana, ia merupakan satu bencana sepenuhnya bagi pembaharuan dari mana-mana aspek atau cara pun anda melihat.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus meningkat,” kata Teck Ghee.