MH Online

Laman Suara Rakyat

Anwar Gagal Batalkan Saman Cabar Pengampunanya

Anwar Gagal Batalkan Saman Cabar Pengampunanya

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan gagal membatalkan saman dikemukakan seorang peguam yang mencabar kesahan pengampunan penuh diberikan kepada Presiden PKR itu, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati Mohd Khairul Azam Abdul Aziz sebagai seorang awam dan peguam, mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk memfailkan saman berkenaan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong ketika itu menjalankan fungsinya sebagai cabang Eksekutif ketika memberikan kuasa pengampunan kepada Anwar. Oleh itu, ia membabitkan prosedur dan undang-undang.

“Jika ia adalah membabitkan kuasa Eksekutif, mengapa ia tidak boleh didengar dan dibicarakan di mahkamah?” katanya.

Akhtar berkata, ia bukan satu kes saman pemula yang boleh ditolak begitu saja pada peringkat ini.

Sementara itu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairul Azam ketika ditemui pemberita, berkata hakim dalam penghakimannya memutuskan terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati tidak ada halangan baginya (mahkamah) untuk mendengar merit kes kerana apa yang dicabar ialah nasihat diberikan Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam saman pemula difailkan pada 26 Februari lalu, Khairul Azam berkata, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan pengampunan Anwar, menyebabkan nasihat diberikan tidak sah dan terbatal.