Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Anwar Arah Pecat Ahli Cetus Kekecohan

Anwar Arah Pecat Ahli Cetus Kekecohan

MELAKA, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lembaga Disiplin parti memecat mereka yang mencetuskan kekecohan ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung hari ini.

Beliau turut memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang bertanggungjawab menimbulkan kekecohan sehingga berlaku pergaduhan dalam kalangan anggota AMK.

“Saya menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku di Kongres AMK 2019. Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

“Justeru saya meminta Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab.

“Saya juga mohon kerjasama pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa kekecohan berlaku di depan pintu masuk ke dewan persidangan Kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sejak jam 8.30 pagi, apabila lebih 200 perwakilan tidak dibenarkan masuk.

Ada perwakilan yang tidak dibenarkan masuk, tidak berpuas hati apabila mendapati dewan dipenuhi dengan pemerhati tanpa pas, yang didakwa bukan anggota PKR.

Kekecohan kedua berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila sekumpulan perwakilan sayap itu tidak dibenarkan masuk dewan yang berakhir dengan insiden bertumbuk.

Leave a Reply

Top