Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Annuar Tidak Kecil Hati Kenyataan Rina

Annuar Tidak Kecil Hati Kenyataan Rina

KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak berkecil hati dengan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berhubung pelantikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) baharu.

Katanya, kenyataan Rina bahawa bakal Pengerusi MARA yang akan dilantik, bukan seperti beliau tidak menjejaskan kredibilitinya.

Beliau berkata, Rina masih baharu dalam politik dan Kabinet serta masih perlu belajar sebelum menjadi pemimpin yang berwibawa dan bijak dalam mengeluarkan kenyataan.

“Saya juga boleh jawab, dalam BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tiada pemimpin yang sampai tahap saya untuk mengetuai MARA.

“Tidak apalah. Saya tidak akan melayan perkara remeh seperti itu,” katanya dalam temu bual di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Semalam, Rina yang juga Ketua Wanita BERSATU dilaporkan berkata, pihaknya akan memilih individu yang benar-benar layak, khususnya daripada aspek kredibiliti dan kualiti dan tidak seperti Annuar.

Annuar yang dilantik sebagai Pengerusi MARA sejak Julai 2013, pernah ‘direhatkan’ daripada jawatan itu serta Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) pada 31 Januari tahun lalu.

Arahan rehat itu bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Leave a Reply

Top