Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-17 Majlis Menteri-menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D-8) di Istanbul, Turki pada 19 Okt.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata Anifah akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan daripada kementerian.

Kenyataan itu berkata mesyuarat menteri itu akan didahului oleh Sesi ke-39 Suruhanjaya D-8 pada 17 dan 18 Okt diikuti dengan Sidang Kemuncak D-8 ke-9.

“Mesyuarat menteri akan membincangkan dan mengkaji kemajuan dan pencapaian perkongsian selama dua dekad dalam enam bidang utama iaitu perdagangan, kerjasama industri serta perusahaan kecil dan sederhana, pertanian dan keselamatan makanan, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Majlis Menteri-menteri juga akan mempertimbang dan memuktamadkan dua dokumen iaitu Deklarasi Istanbul dan Pelan Tindakan D-8 Istanbul untuk diterima pakai pada Sidang Kemuncak D-8.

Anifah dijadualkan menyampaikan satu kenyataan pada mesyuarat menteri pada 19 Okt dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Ditubuhkan pada 15 Jun 1997, D-8 adalah pertubuhan untuk kerjasama pembangunan yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *