MH Online

Laman Suara Rakyat

Angin Perubahan Di Sabah

Angin Perubahan Di Sabah

KOTA KINABALU, Barisan Nasional (BN) optimis sokongan rakyat Sabah di akar umbi akan membolehkan pentadbiran negeri bertukar tangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Sabtu depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rata-rata pengundi sudah menyedari apa yang ditolak dua tahun lalu adalah kesilapan dan mahu menebusnya apabila menunaikan kewajipan masing-masing pada 26 September ini.

Malah, katanya, angin perubahan semakin kencang bertiup dan BN akan memastikan rakyat terus didekati supaya sokongan mereka diterjemahkan menjadi undi.

“Sambutan hebat rakyat di peringkat akar umbi amat meyakinkan dan kami bersyukur kerana BN terus mendapat mendapat di hati rakyat Sabah.

“Beberapa rumah yang saya lawati hari ini menyatakan hal yang sama, malah tuan rumah secara terbuka memberitahu anak mereka supaya mengubah sokongan daripada kerajaan negeri sedia ada kepada BN.

“Mereka sedar, rekod baik BN dalam membela nasib rakyat bukan dibuat-buat dan BN tidak pernah jauh daripada menjaga kebajikan rakyat selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat dalam kawasan DUN Darau di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pemuda BN,

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan calon DUN Darau Datuk Jumat Idris.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, turut menangkis ‘serangan’ Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mendakwa UMNO mengamalkan politik wang dalam berkempen.

“Soalan itu patut ditanyakan kepada Shafie, bukan dia tanya kita.

“Dia tahu UMNO kini sudah tiada duit kerana wang kita dibekukan.

“Orang yang banyak sekarang adalah beliau. Jangan mengelirukan ramai dengan mengatakan UMNO bagi duit kepada rakyat untuk meraih undi, tanya diri sendiri,” katanya.

Mohd Shafie dalam kempennya, dikatakan beberapa beberapa kali mendakwa BN memberikan wang kepada penduduk setempat bagi meraih undi.