Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Amphicoach Beri Manfaat Kepada Pelancongan Terengganu

Amphicoach Beri Manfaat Kepada Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, Bas Amphicoach milik kerajaan negeri Terengganu bakal memberi manfaat besar kepada pelancongan dan ekonomi rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan sektor pelancongan negeri ke arah lebih baik yang kini semakin dikenali di peringkat antarabangsa.

Beliau turut meminta orang ramai terutama segelintir pengguna media sosial supaya tidak mereka cerita kononnya bas amfibia berkenaan rosak dan tidak boleh digunakan kerana ia boleh menjejaskan kemasukan pelancong ke negeri ini seterusnya merugikan rakyat.

‘Apa yang kita buat ini untuk pelancongan dan kepentingan rakyat walaupun pelaburan kita besar tetapi rakyat yang dapat manfaat dengan adanya bas ini orang akan datang dan berbelanja di Terengganu’.

‘Janganlan bercerita negatif kerana akhirnya rakyat yang rugi. Saya harap rakyat dapat berfikir sebaiknya kerana apa yang kerajaan negeri buat ini bukan asas kepada politik tetapi untuk membantu rakyat beri kekuatan ekonomi rakyat dan negeri’.

‘Dengan bas yang hanya ada 13 buah di dunia dan di kita menjadi yang kedua di Asia selepas jepun dan pertama di Asia Tenggara akan menarik orang datang ke Terengganu lebih-lebih lagi siapnya Jambatan Drawbridge nanti’.

‘Apabila pelancong datang ke Terengganu untuk naik bas dan mereka ke sini akan berbelanja di Terengganu dan secara tidak langsung dapat mewujudkan pekerjaan kepada rakyat’ katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hopsital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dato’ Dr. Azman Abu Bakar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr. Mohammad Omar dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah Mohamad Nor Endot.

Menurut Ahmad Razif, Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia kini sedang melakukan proses pemeriksaan ke atas bas berkenaan sebelum dibenarkan beroperasi.

‘Setakat ini JPJ dan Jabatan Laut Malaysia sedang melakukan penyelarasan untuk meneliti dan memperhalusi dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik dan insyaallah bas akan beroperasi secepat yang boleh’.

‘Sekarang tengah diuji untuk laluan dan nanti akan bermula operasi di Kuala Terengganu dahulu untuk menyelusuri sungai Terengganu sebelum diperluas ke daerah lain’, tambahnya.

Semalam bas amfibia telah diuji melalui Sungai Terengganu berhampiran Muzium Negeri yang mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial.

Leave a Reply

Top