MH Online

Laman Suara Rakyat

Ambrin Sedia Jadi Saksi Dalam Kes 1MDB

Ambrin Sedia Jadi Saksi Dalam Kes 1MDB

SHAH ALAM, Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, bersedia menjadi saksi berhubung siasatan semula penyelewengan dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang baharu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara di Kementerian Kewangan berkata, dirinya turut bersedia dipanggil untuk memberikan kenyataan.

“Bahkan, kita punya laporan (Jabatan Audit Negara) itu sudah digunakan sebagai asas kepada kerajaan Persekutuan.

“Jika perkara ini hendak dibawa ke mahkamah dan panggil saya sebagai saksi, saya akan pergi,” katanya.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di sini, malam tadi.

Bulan lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul supaya Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1MDB serta syarikat berkaitan dengannya.

Usul itu dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mencadangkan siasatan dibuat supaya maruah Dewan Rakyat dapat dipulihkan manakala segala maklumat berkaitan harus didedahkan kepada umum.