BAGAN DATUK, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengambilan terus pembantu rumah asing dari negara sumber oleh majikan mampu menjimatkan kos pengambilan pembantu rumah oleh majikan sehingga 50 peratus.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui Bajet 2018 kerajaan membenarkan pengambilan pembantu rumah asing melalui permohonan atas talian oleh bakal majikan.

“Ini bermakna ketua isi rumah atau ketua keluarga boleh memohon terus dengan mengemukakan permohonan atas talian dari sembilan negara sumber yang dibenarkan.

“Majikan boleh pergi terus ke negara sumber berkenaan melalui dua cara, iaitu sama ada mencari sendiri pembantu rumah berkenaan atau menggunakan pihak yang selama ini membekalkan pembantu rumah asing untuk dibawa ke Malaysian terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan melakukan kerja pecah tanah projek jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop Perak Tengah di sini hari ini.

Turut serta dalam majlis tersebut, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan Bajet 2018 mengenai pengambilan secara terus pembantu rumah asing oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ketika ini terdapat sembilan negara sumber bagi pembantu rumah antaranya, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Sri Lanka dan Vietnam.

Katanya, majikan boleh memohon pas lawatan sosial selama 30 hari terlebih dahulu dan dalam tempoh itu majikan akan membuat permohonan dalam talian bagi memohon pas lawatan sosial jangka panjang.

Katanya, ia bagi membolehkan pekerja diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah.

Beliau berkata, ketika ini, kos pengambilan pembantu rumah asing adalah antara RM12,000 hingga RM18,000 dan langkah itu akan membantu mengurangkan beban kemasukan terutama untuk penjawat awam yang selama ini menghadapi bebanan kos yang tinggi.

“Malah terdapat juga pembantu rumah asing yang bertukar tangan kepada tiga atau empat majikan setahun dan ini sangat tidak adil bagi mereka setiap kali mengambil pembantu rumah asing baharu,” katanya.

Mengenai tahap keselamatan pembantu rumah yang diambil bekerja melalui kaedah itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus menggunapakai sistem sedia ada bagi memantau perkara itu termasuk melalui pemantau biometrik, sistem biomedik, saringan keselamatan dan Sistem Saringan Awal Keselamatan Penumpang (APSS).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *