Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > AMANAH Tidak Mahu PAS Dalam Kerajaan PH

AMANAH Tidak Mahu PAS Dalam Kerajaan PH

PETALING JAYA, Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk PAS menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ PAS ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Presiden PH menyifatkan rombakan atau pembaharuan secara drastik dalam kerajaan Persekutuan tidak perlu dilakukan memandangkan PH masih mendapat sokongan rakyat.

“Setakat ini, sama ada dalam Kabinet atau luar Kabinet, kita masih PH. Setakat ini kita kekal dengan janji kita kepada rakyat. Rakyat sudah memberi mandat, sekarang adalah kerajaan PH.

“Bagi AMANAH, kita tetap dengan keputusan sebelum ini. Apa yang ada ketika ini adalah PH. Sekarang kita selesa dengan PH, itu persetujuan dan kerjasama yang kita janjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pemprosesan Sarang Burung Walit Mentah milik Netfarm International Sdn Bhd di sini, hari ini.

Salahuddin mengulas laporan portal berita yang mendakwa PAS mungkin akan diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, belum ada faktor besar yang mewajarkan kerajaan hari ini dirombak walaupun PH tewas dalam dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis dan Parlimen Tanjung Piai.

“Kimanis dan Tanjung Piai memang kubu Barisan Nasional (BN), memang tidak pelik mereka boleh rampas semula.

“Belum ada faktor besar untuk kita (PH) merombak muafakat yang ada ketika ini. Apa yang kita buat hari ini, pencapaian agak sederhana tapi saya rasa kita masih boleh lakukan lebih lagi untuk rakyat,” katanya.

Salahuddin turut menafikan dakwaan PAS akan menyertai Putrajaya ini timbul susulan kebimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, PH mungkin akan menjadi kerajaan sepenggal.

“Saya yakin Tun tetap dengan kita dan kita pun akan masih dengan beliau,” katanya.

Leave a Reply

Top