Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 di Dewan Rakyat semalam hanya sebagai sandiwara yang telah disempurnakan skripnya.

Katanya, cara Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan terhadap pembentangan usul Marang semalam adalah jelas menjatuhkan kredibiliti beliau dan institusi Parlimen itu sendiri.

“Di mana lagi tempat yang terbaik dan mulia untuk sesuatu usul atau RUU itu dibahaskan? Tidak mengira sama ada isu seekor haiwan yang perlu dilindungi atau isu urusan agama yang dimuliakan semestinya semua pihak diberikan ruang yang saksama untuk membahaskannya.

“Sikap adil dan bijaksana seorang Speaker yang terhormat amat perlu untuk mengendalikannya di dalam dewan yang mulia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pandikar yang menangguhkan Sidang Parlimen pada sesi ini sebelum usul RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahaskan.

Dalam persidangan tersebut, keputusan penangguhan yang dibuat kira-kira jam 4 petang itu telah mendapat bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang kerana tidak diberi peluang membahaskan usul berkenaan.

Selepas itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak bangun dan melaungkan ‘ini tidak adil’, namun Pandikar tidak mengendahkannya lalu bangun meninggalkan sidang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *