MH Online

Laman Suara Rakyat

Ally Mukhriz Kesal Langgar PKPP

Ally Mukhriz Kesal Langgar PKPP

KUALA LUMPUR, Anak sulung bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dikompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menzahirkan kekesalan atas tindakannya itu.

Meera Alyanna yang ditahan bersama suaminya dan 27 pengunjung lain di sebuah kelab malam dekat Taman Tun Dr Ismail di sini pada 21 Ogos lalu, mengakui perbuatannya itu tidak bertanggungjawab ketika negara diancam pandemik COVID-19 ketika ini.

Sepanjang seminggu lalu sejak peristiwa itu, cucu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu mengambil peluang bermuhasabah diri dengan meneliti kesan kecuaiannya itu dan berjanji untuk berusaha menjadi lebih baik.

“Sejujurnya saya menyesal. Bukan saja kerana cuai melanggar larangan pergerakan selepas tengah malam, malah bersikap tidak bertanggung jawab di kala kita semua sedang diancam pandemik.

“Saya amat kesal kerana kecuaian itu menyusahkan keluarga dan rakan saya serta anda sekalian. Benarlah saya bersalah dan anda kecewa, tetapi tidak sebesar kekecewaan dan kekesalan yang saya rasai ketika ini,” katanya dalam satu muat naik menerusi Instagram miliknya, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anak kenamaan (VIP) antara pengunjung yang ditahan di premis yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.

Kelmarin, Mukhriz pada sidang media ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, mengesahkan anak perempuan dan menantunya antara 27 individu ditahan polis dalam serbuan di kelab malam itu.

Mengulas insiden itu, Meera Alyanna menjelaskan, dia dan suaminya hadir ke kelab malam itu untuk meraikan sambutan hari lahir, sebelum polis menyerbu kelab malam itu sekitar jam 1.30 pagi dan menahan mereka kerana melanggar PKPP.

Katanya, mereka semua di bawa ke balai polis dan dibenarkan pulang sekitar jam 5.30 pagi selepas dikenakan denda RM1,000 seorang. Dia dan suaminya menjelaskan denda itu pada Selasa lalu.

“Semua anggota dan pegawai polis yang mengendalikan kes itu menjalankan tugas dengan baik, sopan dan adil terhadap kami semua. Saya menyanjung tinggi sikap profesionalisme mereka,” katanya.