Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Al Hamra Group Tubuh Kampus Sukan Di Kelantan

Al Hamra Group Tubuh Kampus Sukan Di Kelantan

KOTA BHARU, Sebuah  kampus khusus untuk pembangunan sukan bola sepak akan diwujudkan di Kelantan.

Usaha itu bakal dilaksanakan Syarikat Al Hamra Group dan Red One Sdn Bhd, kata Presidennya Tan Sri Annuar Musa.

“Kampus ini dijangka akan dibina di Parlimen Ketereh selepas proses pembelian tapak dilakukan. Ia akan dilengkapi prasarana sukan yang lebih sempurna dan dijadikan pusat latihan sukan bola sepak remaja selepas tamat latihan di peringkat sekolah,” kata beliau.

Pembinaan  kampus itu adalah bagi memastikan pengurusan sukan bola sepak di negeri ini lebih sistematik dalam menghasilkan bakat-bakat baharu, katanya  kepada pemberita di Majlis Pelancaran Tan Sri Annuar Musa Al Hamra Red One Academy (TSAM ARMY) di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad itu turut dihadiri Pengarah Pendidikan Kelantan Muhammad Zahari Othman.

Seramai 500 pelajar telah dipilih menyertai TSAM ARMY dalam sesi pemilihan baru-baru ini dan kini menjalani latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal dan SMK Kadok di sini.

Dalam pada itu, Annuar berkata pelatih TSAM ARMY akan dilatih menggunakan pendekatan kurikulum gabungan daripada akademi sukan di Jepun dan Croatia.

Beliau berkata pihaknya juga akan mewujudkan satu pasukan jurulatih dari negeri ini menggunakan khidmat dan kepakaran dari negara tersebut bagi melatih kelompok perintis berkenaan.

Sementara itu, Alias berkata kementerian menyambut baik usaha tersebut memandangkan bidang akademik bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada kemenjadian pelajar.

Leave a Reply

Top